GB SKAM

GB SKAM
PN HJH CHE INDON BT OSMAN

ALUAN GURU BESAR

Syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurniaNya maka kita dapat menghasilkan Perancangan Strategik 2011 – 2013 yang akan digunakan sebagai panduan untuk meneruskan tugas kita sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan Air Merah. Penghasilan Perancangan Strategik 2011-2013 ini adalah selaras dengan Visi dan Misi yang kita laungkan bersama.

Diharap tahun 2011 ini akan menjanjikan lebih banyak kejayaan kepada sekolah ini dari segi kurikulum, kokurikulum mahupun peningkatan sahsiah pelajar selaras dengan tranformasi yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sehubungan dengan visi sekolah, kita amat berharap agar sekolah ini akan tersenarai sebagai salah sebuah sekolah yang diiktiraf oleh kementerian iaitu menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada tahun-tahun yang akan datang.

Dalam menuju ke arah perkembangan dunia pendidikan yang serba mencabar ini, diharap Perancangan Strategik 2011-2013 yang diterbitkan ini dapat sedikit sebanyak membantu para guru untuk menguruskan perjalanan aktiviti harian sekolah ini dengan sebaik mungkin bersandarkan kepada Falsafah Pendidikan Negara.

Tinggilah harapan kita agar usaha-usaha yang kita laksanakan hari ini akan melahirkan generasi muda yang berilmu, berketrampilan, berdaya saing, mempunyai jati diri yang kukuh dan seterusnya mampu menyumbang tenaga demi kegemilangan agama, bangsa dan negara.

Sekian. Terima kasih.

HJH CHE INDON BINTI OSMAN

GURU BESAR SEKOLAH KEBANGSAAN AIR MERAH

LATAR BELAKANG SKAM



SEJARAH SEKOLAH 
Sekolah Kebangsaan Air Merah mula dibina pada tahun 2001 dan siap dibina sepenuhnya pada bulan Oktober 2002. Kedudukan sekolah ini di kawasan Bukit Kulim. Sesi persekolahannya yang pertama ilah pada 5 Januari 2003. Nama Air Merah diambil sempena terletaknya kawasan tersebut di Mukim Ayer Merah, Kulim. Pada awalnya pembukaanya, kebanyakkan pelajarnya datang dari sekitar Taman Selasih, Taman Angsana dan Taman Jati.

Keluasan SK Air Merah adalah kira-kira 5.09 ekar yang menempatkan 4 blok bangunan untuk Pembelajaran dan Pentadbiran, 1 blok untuk surau dan 1 blok untuk kantin. Juga terdapat sebuah padang permainan, dataran kejat, dan sebuah dewan terbuka. Kedudukannya yang berdekatan jalan utama Kulim ke Bukit Mertajam merupakan kedudukan yang strategik bagi kemudahanpara pelajar datang ke sekolah.

Pada awal persekolahan, bilangan murid-murid yang mendaftarkan diri seramai 390 orang yang terdiri daripada 226 orang murid lelaki dan 164 orang murid perempuan. Pecahan mengikut kaum pula terdiri daripada 335 murid Melayu, 47 murid India, 4 murid Cina dan 17 orang guru terlatih dan 5 orang guru ganti serta seorang staf sokongan. Guru Besar pertama ialah Puan Yuhanis binti Abdul Ghani.  Penolong Kanan 1 ialah Encik Zulkefli bin Baharom. Penolong Kanan HEM ialah Encik Jaafar bin Ahmad manakala Penolong      Kanan Kokurikulum ialah Encik Anuar bin Romle. Staf pertama sekolah ini ialah Encik Mohd Zahir bin Mokhtar.